
Kehadiran sebuah pesawat pengintip prototaip yang dimiliki oleh Israel telah dilaporkan sedang menjalankan ujian penerbangan di Singapura. Dikatakan ujian penerbangan tersebut telah dilakukan sekurang-kurangnya 4 jam sebelum mendarat di pengkalan tentera udara di Singapura.
Berdasarkan laporan daripada jurnal Defense Security Asia, pesawat perisikan elektronik ini dimiliki oleh Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta), jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 yang berpangkalan di Tel Aviv. Dikatakan syarikat kontraktor ini memiliki kepakaran dalam risikan selain sistem elektronik bagi kegunaan keselamatan.

Berdasarkan rekod penerbangan, pesawat tersebut telah berlepas dari Israel dan melalui ruang udara Tebing Barat pada 18 Mei lalu. Pada 20 Mei, pesawat tersebut telah tiba di utara Selat Melaka pada pukul 6 pagi waktu Malaysia. Seterusnya, pesawat itu melalui ruang udara Kuala Lumpur pada ketinggian 28,975 kaki. Pesawat itu memasuki kawasan luar persisiran Melaka pada pukul 11.30 pagi.

Pesawat ini direka untuk menampung sistem perisikan rondaan dan pemantauan maritim, gambaran perisikan , sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersil. Pesawat ini juga pernah digunakan bagi mengintip kapal yang menyeludup senjata api ke Palestin.